
Rasulullah dalam mengenangmu..
Kami umatmu begitu kasih akan dirimu,
Wahai kekasih Allah,wajahmu lebih bercahaya dari sinar mentari dan rembulan purnama,
Kekasih Allah yang telah dijanjikan syurga Allah yang tertinggi iaitu Syurga Firdaus,
Rumahtanggamu adalah qudwah hasanah...
Dikau pemimpin,
Dikau imam,
Dikau pembesar negara,
Dikau suami,
Dikau bapa,
Dikau panglima,
Tidak terperi rindunya kami untuk berjumpa denganmu..
Dengan kalimah Tiada Tuhan Selain Allah,kami hidup dan dengan kalimah ini juga kami mati.
Mudah-mudahan kami umatmu dapat mengikut jejak langkah mu dalam mencari Mardhatillah yang abadi.InsyaAllah.
Ameen.Ya Rabbal Alamin.
Rasulullah Suami Teladan
Rasulullah saw. sejak masa remaja sudah terkenal sebagai orang yang bersih dan berbudi mulia. Ketika beliau menginjak usia 25 tahun menikahi Khadijah binti Khuwailid.
Sejak saat itulah beliau mengharungi kehidupan rumah tangga bahagia penuh ketenteraman dan ketenangan.
Rasulullah saw. amat menghormati wanita, lebih-lebih isterinya.
Beliau bersabda, “Tidaklah orang yang memuliakan wanita kecuali orang yang mulia; dan tidaklah yang menghinakannya kecuali orang yang hina.”
Menghormati isteri adalah kewajiban suami.
Al-Qur’an berkali-kali memerintahkan agar menghormati dan berbuat baik terhadap isteri. Kita tidak mendapatkan kata-kata dalam Al-Qur’an yang mengharuskan untuk berbuat baik dalam menggauli isteri, baik dalam keadaan marah atau tidak.
Kecuali, ditekankan kewajipan berbuat ma’ruf dan ihsan terhadap isteri dan dilarang menyakiti atau menyiksanya.
Rasulullah saw. merupakan contoh indah dalam kehidupan rumah tangganya. Beliau sering bercanda dan bergurau dengan isteri-isterinya.
Dalam satu riwayat beliau berlumba lari dengan Aisyah, terkadang beliau dikalahkan dan pada hari lain beliau menang. Beliau senantiasa menegaskan pentingnya sikap lemah lembut dan penuh kasih sayang kepada isteri.
Kita jumpai banyak hadith yang seirama dengan hadits berikut, “Orang mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya dan paling lembut pada keluarganya.” Riwayat lain, “Sebaik-baik di antara kamu adalah yang paling baik pada keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.”
Di antara yang menunjukkan keteladanan beliau dalam menghormati isteri adalah menampakkan sikap lembut, penuh kasih sayang, tidak mengkritik hal-hal yang tidak berguna untuk dikritik, memaafkan kekeliruannya, dan memperbaiki kesalahannya dengan lembut dan sabar.
Bila ada waktu senggang beliau ikut membantu isterinya dalam mengerjakan kewajipan rumah tanggannya.
Aisyah pernah ditanya tentang apa yang pernah dilakukan Rasulullah saw. di rumahnya, beliau menjawab, “Rasulullah mengerjakan tugas-tugas rumah tangga, dan bila datang waktu solat, baginda pergi solat.”
Rasulullah saw. memiliki kelapangan dada dan sikap toleransi terhadap isterinya. Bila isterinya salah atau marah, beliau memahami betul jiwa seorang wanita yang sering emosional dan memberontak.
Beliau memahami betul bahawa rumah tangga adalah tempat yang paling layak dijadikan contoh bagi seorang muslim adalah rumah tangga yang penuh cinta dan kebahagiaan.
Kehidupan rumah tangga harus dipenuhi gelak tawa, kelapangan hati, dan kebahagiaan agar tidak membosankan.
Bila terpaksa harus bertindak tegas, Rasulullah saw. melakukannya dengan disertai kelembutan dan kerelaan.
Sikap keras dan tegas untuk mengubati keburukan dalam diri wanita, sedangkan kelembutan dan kasih sayang untuk mengubati kelemahan dan kelembutan dalam dirinya.
Khadijah Isteri Teladan
Khadijah binti Khuwailid adalah seorang wanita bangsawan Quraisy yang kaya. Dia diberi gelar wanita suci di masa jahiliyah, juga di masa Islam.
Banyak pembesar Quraisy berupaya meminangnya, tetapi ia selalu menolak. Ia pedagang yang sering menyuruh orang untuk menjualkan barang dagangannya keluar kota Makkah Al-Mukarammah.
Ketika mendengar tentang kejujuran Muhammad saw,Saidatina Khadijah menyuruh pembantunya datang dan meminta Nabi Muhammad SAW menjualkan barang dagangannya ke Syam bersama budak lelaki Maisarah.
Nabi Muhammad menerima permohonan itu dan mendapatkan keuntungan besar dalam perjalanan pertama ini.
Setelah mendengar kejujuran dan kebaikan Muhammad, Khadijah tertarik dan meminta kawannya, Nafisah binti Maniyyah, untuk meminangkan Muhammad.
Beliau menerima pinangan itu dan terjadilah pernikahan ketika beliau berusia 25 tahun sedangkan Khadijah berusia 40 tahun.
Khadijah sebagai Ummul Mukminin telah menyiapkan rumah tangga yang amat mententeramkan bagi Nabi Muhammad saw. Sebelum beliau diangkat menjadi Nabi dan membantunya ketika beliau sering berkhalwat di Gua Hira’.
Khadijah adalah wanita pertama yang beriman ketika Nabi mengajaknya masuk Islam. Khadijah adalah sebaik-baiknya wanita yang mendukung Rasulullah saw,dalam melaksanakan dakwahnya, baik dengan jiwa, harta, mahupun keluarganya.
Peri kehidupannnya harum semerbak wangi, penuh kebajikan, dan jiwanya sarat dengan kehalusan.
Rasulullah saw. pernah menyatakan dukungan ini dengan sabdanya, “Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar.
Dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku. Dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selainnya.” (Imam Ahmad dalam kitab Musnad-nya)
Khadijah amat setia dan taat kepada suaminya, bergaul dengannya, sikap mengorbankan kesenangannya demi kesenangan suaminya, dan membesarkan hati suaminya di kala merasa ketakutan setelah mendapatkan tugas kenabian.
Ia gunakan jiwa dan semua hartanya untuk mendukung Rasul dan kaum muslimin. Pantaslah kalau Khadijah dijadikan sebagai isteri teladan pendukung risalah dakwah Islam.
Khadijah mendampingi Rasulullah saw. selama seperempat abad. Berbuat baik di saat Rasulullah gelisah. Menolong Rasulullah di waktu-waktu sulit. Membantu Rasulullah dalam menyampaikan risalah dan ikut merasakan penderitaan pahit akibat tekanan dan boikot orang-orang musyrik Quraisy.
Khadijah menolong tugas suaminya sebagai Nabi dengan jiwa dan hartanya.
Rasulullah saw. senantiasa menyebut-nyebut kebaikan Khadijah selama hidupnya sehingga membuat Aisyah cemburu.
Dengan ketaatan dan pengorbanan yang luar biasa itu, pantaslah jika Allah swt. menyampaikan salam lewat malaikat Jibril kepada Khadijah.
Jibril datang kepada Nabi, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah, makanan dan minuman, apabila datang kepadamu sampaikan salam dari Tuhannya dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di surga, terbuat dari mutiara yang tiada suara gaduh di dalamnya dan tiada kepenatan.” (Bukhari)
Itulah Khadijah, sosok seorang istri yang layak dijadikan teladan bagi wanita-wanita yang mendukung tugas dakwah suaminya.